23 November 2008
Penjara Kangar dahulunya didirikan bersebelahan dengan Sekolah Menengah Derma Kangar (sekarang). Pentadbiran Negeri Perlis di bawah Kerajaan British kerana ketika itu perils berada di bawah naungan British. Penjara Kangar ini dikelolakan oleh seorang pegawai berbangsa Sikh bernama Jagat Singh.
Bangunan Penjara Kangar ini berbentuk tembok empat segi yang dibina dengan batu-bata yang tinggi. Di tiga bahagian tepinya terdapat bilik-bilik dan pada satu lagi bahagian tepi itu terdapat pintu masuk yang mempunyai satu halaman sempit di tengahnya. Penjara ini digunakan bagi mengurung pesalah pada waktu malam. Pada waktu siang, para pesalah ini dikeluarkan daripada penjara untuk mereka melakukan kerja-kerja buruh yang ditentukan oleh kerajaan.
Belanja makanan bagi pesalah didapati paling murah sekali. Pihak kerajaan hanya membeli padi dan para pesalah akan mengisar dan menumbuk padi tersebut untuk mendapatkan beras. Kerja tersebut dilakukan setiap hari dalam kawasan penjara. Para pesalah juga membuat kerja-kerja membersih pasar ikan di Kangar. Oleh itu, para penyewa gerai ikan akan memberikan mereka beberapa ekor ikan sebagai upah. Memandangkan keadaan yang demikian, kos memberi makan kepada pesalah di Penjara Kangar adalah rendah dan dianggarkan tidak sampai lima sen bagi setiap seorang dalam sehari. Pengelolaan penjara mengikut ‘cara’ tersebut adalah sangat menguntungkan kerajaan negeri dan menjimatkan belanja kerajaan.
Selain itu, kerja-kerja yang berkaitan dengan kemudahan awam juga telah dijalankan oleh para pesalah dari Penjara Kangar. Keadaan jalan-jalan di Negeri Perlis khasnya di Bandar Kangar tidaklah terlalu buruk jika dibandingkan dengan keadaan jenayah atau kesalahan di negeri ini. Ini kerana apabila perkara-perkara jenayah atau kesalahan berkurangan maka, akan berkurangan pula buruh-buruh bagi membaiki dan membina jalan-jalan di negeri ini.
BIODATA PENGARANG BLOG
Semasa arwah mak masih ada, dia penah berceriter masa kecik nama saya Hasbullah...abang saya yang baru balik dari Mesir telah menukar nama saya kepada nama Azmi..kesahnya masa tu saya selalu tidak sihat, demam selalu dan macam-macam lagi kerenah budak-budak. Lepas tukar nama saya sihat seperti sediakala. Mungkin nama juga merupakan satu doa kata imam yang selalu mengajar agama di masjid kampung saya dulu tu. Lahir pada hari Jumaat di Kampung Padang Keria pada tanggal 10 Disember 1965. Oleh kerana desakan dari arwah ayah masa tu, ketika saya masih dalam buaian saya diserahkan kepada satu keluarga yang agak berada kenalan almarhum ayah Jiran sekampung. Saya dipelihara sehingga membesar seperti kanak-kanak lain di mana saya menganggap sudah seperti keluarga sendiri.
Kehidupan di kampung sememangnya penuh dengan kenangan manis dan pahit yang sukar untuk ditelan. Namun sebagai hamba Allah kita terima dengan hati yang lapang. Sifat memaafkan musuh adalah semulia-mulia akhlak di sisi Allah S.W.T. Itulah takdir yang telah tersurat dalam hidup ini. Zaman naik basikal sport ke sekolah menengah, kasut sekolah tersadung tahi lembu.. sangat mengusik kenangan. Sehinggalah SPM Gred 2 saya merantau ke Kuala Lumpur mencari pengalaman kerja. Puas menimba kenangan yang tidak kurang juga suka dan dukanya saya pun membuat keputusan balik ke Negeri kelahiran Perlis. Di sinilah saya mula menimba berbagai pengalaman kerja bermula dengan kursus motorsikal di Pusat Giat Mara Kangar, bertugas sebagai Pengawal Keselamatan di sekolah-sekolah, Pegawai Pemasaran Bahagian Elektrik di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perlis, Bengkel Motorsikal Kota Motor di belakang Jalan Hospital Kangar, dan HPA Industries Sdn. Bhd. Jalan Behor Temak Kangar.
Tahun 1996 saya mendapat tawaran sebagai Pembantu Muzium (Sambilan)oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis sehinggalah ditawarkan kepada jawatan Kontrak pada 16 September 2006 hinggalah sekarang. Sehingga kini sudah 12 tahun lebih bertugas sebagai Pembantu Muzium.. Di samping tugas utama, tugas sampingan saya ialah sebagai jurugambar. Minat dengan kamera ni dah lama, sejak sebelum kerja dengan kerajaan lagi.
Di samping minat dengan bidang fotografi saya jugak minat sejarah. Maklumlah tugas saya di Muzium.. Anda boleh menyelusuri Sejarah Ringkas Negeri Perlis nanti...sabor...
SEJARAH BANGUNAN MUZIUM NEGERI (TAPAK RUMAH TETAMU LAMA)
Bangunan Muzium Negeri Perlis terletak di Jalan Kolam (Jalan Raja Syed Safi), Kangar berhadapan dengan bekas Kediaman Rasmi Menteri Besar sebelum ini. Bidang tanah yang mempunyai keluasan sekitar 4.84 ekar sebenarnya telah dikurniakan oleh Raja Syed Safi kepada adindanya (yang sebonda) Syed Salim bin Syed Muhammad Al-Jafri. Syed Salim yang dikenali dengan panggilan “Tuan Lim” telah membina rumah kediamannya di tapak itu pada akhir abad ke-19. Beliau dan keluarganya (termasuk anak perempuannya Sharifah Chut dan suami, Syed Alwi) menetap di sini sehinggalah bangunan ini dijual kepada Kerajaan Negeri Perlis (Perlis State Council) iaitu selepas beberapa tahun Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani yang membawa Negeri Perlis bernaung di bawah Kerajaan British.
Semenjak itu, bangunan ini dijadikan kediaman rasmi penasihat-penasihat British bagi Negeri Perlis. Penasihat British yang pertama, Meadow Frost serta pengganti-pengganti beliau menetap di sini sehingga Perang Dunia Kedua dalam tahun 1941. Selepas peperangan, Penasihat British kedua iaitu E.V.G. Day dan pengganti-penggantinya juga terus menetap di sini sehingga tahun 1957. Semenjak tahun 1941 hingga 1943, bangunan ini diambil alih oleh pihak Pentadbiran Tentera Jepun dan dari tahun 1943 hingga 1945, pihak Berkuasa Tentera Thai pula menduduki bangunan ini. Dalam tempoh tersebut, bangunan ini diduduki oleh pegawai tentera yang menjalankan pentadbiran negeri sehingga bulan September 1945.
Selepas mencapai kemerdekaan, bangunan ini menjadi kediaman rasmi Menteri Besar Perlis. Menteri Besar pertama yang menetap di sini sehinga tahun 1959 ialah seorang pegawai M.C.S., Dato’ Laksamana Mohd. Razali bin Hj.Mohd.Ali Wasi. Menteri Besar yang baru, seorang ahli politik, Tan Sri Dato’ Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim pula menetap di sini hingga akhir tahun 1971. Bangunan ini dikenali sebagai “Rumah Tetamu” selepas dikosongkan oleh Menteri Besar berikutnya, Dato’ Jaafar bin Hassan pada awal tahun 80-an. Bangunan ini akhirnya dirobohkan dalam tahun 1991 untuk memberi ruang kepada pembinaan bangunan Muzium Negeri sekarang yang rekabentuknya mengambil pelan asal bangunan lama.
Rujukan Fail Muzium Ngeri Perlis
Langgan:
Catatan (Atom)