19 November 2008

WAJAH PENGKALAN KANGAR DULU DAN SEKARANG



PENGKALAN KANGAR DULU DAN SEKARANG

PASAR BESAR KANGAR


FOTO LAMA



ZAMAN SIAM

Foto Ihsan Allahyarham Tuan Haji Muhyiddin Tuan Habib

Pada 18 Oktober 1943, Jepun telah memisahkan pentadbiran Sumatera dan Tanah Melayu. Negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan pentabirannya oleh Jepun kepada Kerajaan Siam di bawah pentadbiran Pibul Songkhram sebagai menunaikan janji dan membalas budi atas pertolongan kerajaan Siam semasa tentera Jepun melancarkan serangan ke atas Tanah Melayu.

Negeri Perlis diletakkan di bawah pentadbiran Siam yang berpusat di Alor Setar. Pentadbiran tersebut adalah di bawah tanggungjawab seorang Pesuruhjaya Tinggi Tentera Siam atau ‘Khaluang Tahan Besar’ iaitu Major Jeneral Kamol Sra Bhaisiradhikaran Jotikasathien. Beliau dan beberapa orang pegawai tinggi Kerajaan Siam yang berkhidmat di Negeri Perlis menetap di sebuah rumah kerajaan iaitu Rumah Tetamu, Kangar (kini Muzium Negeri Perlis). Para pegawai Siam terdiri daripada pegawai yang kurang mahir dan kurang disiplin. Mereka kebanyakannya dibenci oleh penduduk tempatan kerana dikatakan bermaharajalela di kampung-kampung di samping menjalankan kegiatan perjudian. Negeri Perlis juga berada di bawah tahap kemiskinan lantaran tiada sebarang bantuan kewangan yang diterima daripada Kerajaan Siam malah penderitaan penduduk tidak mendapat perhatian langsung dari Kota Bangkok.

Perlis berada di bawah pentadbiran Siam selama 25 bulan iaitu sehingga bulan September 1945. Dalam jangkamasa tersebut, pentadbiran negeri Perlis bertukar corak daripada ‘pentadbiran militer Jepun’ kepada pentadbiran awam yang dijalankan oleh pegawai Siam. Walau bagaimana pun, sebenarnya Kerajaan Siam hanya mempunyai kuasa pentadbiran sahaja di negeri ini kerana tanggungjawab terhadap pertahanan dan keselamatan negeri masih di bawah kuasa tentera jepun. Tentera-tentera Jepun masih lagi berada di kawasan strategik di negeri Perlis seperti Padang Besar, Kangar, Kuala Perlis dan di sempadan Perlis-Kedah. Episod pentadbiran Perlis di bawah pentadbiran Siam berakhir setelah Jepun dan sekutunya tewas dalam Perang Dunia Ke 2.

PADANG MAJLIS BANDARAN


Padang Bandaran menjadi tempat tumpuan rakyat daripada pelbagai pihak bagi menganjurkan segala bentuk aktiviti sejak zaman British lagi. Ia pernah dikenali sebagai Padang Hospital disebabkan kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Hospital Besar Kangar (kini dikenali sebagai Hospital Tengku Fauziah). Padang ini dibuka pada tahun 1930an apabila permainan bola sepak diperkenalkan kepada anak-anak muda negeri Perlis pada tahun 1929.

Sebelum meletusnya Perang Dunia Ke2, Padang Bandaran pernah menjadi tempat berlangsungnya acara Sambutan Ulangtahun Keputeraan Raja England, King George IV. Murid-murid sekolah dari seluruh negeri Perlis telah datang beramai-ramai dengan menaiki lori untuk bersama-sama menjayakan sambutan tersebut.

Semasa zaman pemerintahan Jepun pula, padang ini menjadi tempat untuk pemerintah tentera Jepun mengajar anak-anak muda tempatan berkawad dan cara menunduk hormat mengadap ke arah Timur sebagai menghormati Maharaja Jepun. Manakala semasa Perlis di bawah pemerintahan Kerajaan Siam pula, Padang Bandaran ini berperanan sebagai gelanggang lumba kuda yang dianjurkan oleh para pegawai tentera Siam.

Padang Bandaran turut menjadi tempat untuk persembahan kebudayaan Melayu. Persembahan tarian canggung contohnya yang merupakan kesenian asli negeri Perlis mula diperkenalkan kepada penonton umum di padang ini pada awal tahun 1940-an.

Pada 4 Jun 1946, seramai 5000 orang Melayu telah berkumpul di padang ini untuk bermesyuarat menubuhkan Persatuan Melayu Negeri Perlis. Selepas beberapa bulan kemudian, semasa Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar datang ke negeri Perlis sekali lagi padang ini menjadi tempat orang-orang Melayu berkumpul hingga kemudiannya membawa kepada penubuhan UMNO di negeri ini.

Walau bagaimana pun, menjelang awal tahun 1960an peranan Padang Bandaran sebagai gelanggang bola sepak telah berubah setelah terbinanya Stadium Dato’ Sheikh Ahmad. Namun begitu padang bersejarah tersebut masih berfungsi sehingga sekarang menjadi tempat tumpuan jika terdapat acara sambutan atau pertandingan yang tidak melibatkan jumlah penonton yang ramai.

ZAMAN JEPUN


Serangan Tentera Udara Jepun ke atas Pearl Harbour pada 8 Disember 1941 telah membawa kepada pengisytiharan perang antara Tentera Berikat dan Jepun. Walau bagaimanapun, pada awal peperangan tersebut masih belum memberi apa-apa kesan yang mendalam kepada masyarakat Negeri Perlis secara amnya pada ketika itu kerana didapati pejabat, kedai dan sekolah masih dibuka pada hari tersebut.
Pada pagi 9 Disember 1941, Tentera British telah meletupkan jambatan yang menyambung Jalan Besar dengan Jalan Raja Syed Alwi bagi menghalang kemaraan Tentera Jepun. Pejabat–pejabat kerajaan dan premis telah mula ditutup sementara ketua–ketua jabatan mencari tempat perlindungan yang selamat. Pasukan tentera yang terdiri daripada Rejimen Punjab yang ditempatkan di kawasan Mata Ayer telah berundur meninggalkan kem mereka menyebabkan pertahanan menjadi lumpuh.
Tentera Jepun masuk ke Negeri Perlis melalui Padang Besar pada 12 Disember 1941. Ianya telah memberi pelbagai reaksi kepada penduduk setempat. Terdapat penduduk yang berasa bimbang, hairan dan ingin melihat sendiri bala tentera Jepun dari dekat kerana mereka masih belum dapat menggambarkan situasi yang sebenarnya. Tentera Jepun masuk dengan berjalan kaki dan dalam perjalanan tentera-tentera ini akan mengambil apa sahaja kenderaan kepunyaan penduduk tempatan.
Pendudukan Jepun di Negeri Perlis adalah suatu tempoh masa yang amat memeritkan. Kebanyakan penduduk tempatan hanya makan ubi kayu sebagai menu makanan utama menggantikan nasi. Wabak taun pula berleluasa di Kuala Perlis yang telah meragut ramai nyawa lantaran kemudahan rawatan yang amat terhad. Maklumat dan berita juga telah ditapis oleh pihak tentera malah suratkhabar dan radio adalah dilarang hinggakan suatu masa masyarakat Islam menjadi keliru mengenai tarikh hari raya.
Pemerintahan Jepun adalah berlandaskan undang–undang tentera. Masyarakat dikehendaki belajar menyanyi lagu-lagu patriotik. Jepun serta menghormati bendera dan Maharaja Jepun. Semangat ‘Nippon Syeisyin’ amat dititikberatkan oleh tentera Jepun terhadap masyarakat tempatan kerana dikatakan bahawa dengan semangat inilah punca kemajuan bangsa Jepun.
Pendudukan Jepun telah berakhir apabila Hiroshima dibom oleh Tentera Berikat pada 14 Ogos 1945. Pengeboman tersebut telah mengakhiri episod pemerintahan tentera Jepun. Pasukan Tentera British tiba di Perlis pada bulan September 1945 mengambilalih pentadbiran Negeri Perlis.

PERLIS DI BAWAH NAUNGAN BRITISH


Selepas Perjanjian Bangkok ditandatangani, Negeri Perlis berada di bawah naungan tidak rasmi British pada tahun 1909 hingga 1929. Pada tempoh masa tersebut, beberapa orang Pegawai Penasihat British pernah berkhidmat di negeri ini antaranya Mr.Meadow Frost yang merupakan Pegawai Penasihat pertama negeri ini. Beberapa perubahan telah dilakukan oleh mereka merangkumi sistem pentadbiran negeri, menyelesaikan masalah persempadanan antara negeri Perlis dengan wilayah Siam dan Kedah, undang-undang dan sebagainya kecuali perkara yang berhubung dengan agama Islam serta adat istiadat Melayu. Walau bagaimana pun, sebarang keputusan yang dibuat oleh para Pegawai Penasihat ini hendaklah dipersetujui oleh Raja Perlis dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Perang Dunia Pertama yang meletus pada tahun 1914 secara tidak langsung telah mendatangkan kesan kepada negeri Perlis. Harga barangan telah naik secara mendadak dan kerja-kerja perlombongan bijih timah turut terhenti. Walau bagaimana pun, negeri Perlis bernasib baik kerana rakyat tidak mengalami kekurangan makanan atau kebuluran memandangkan hasil getah, padi, beras, ikan dan lain-lain melebihi daripada keperluan rakyat dan ini dapat mengatasi kepada kenaikan harga barang-barang import.
Selepas kira-kira 20 tahun berada di bawah naungan Tidak Rasmi British melalui pemerintahan State Council, memang terdapat banyak kemajuan yang dicapai oleh negeri ini. Kemajuan di bidang ekonomi, pentadbiran, perhubungan dan sebagainya memang dirasai jika dibandingkan ketika berada di bawah naungan Siam suatu ketika dahulu selama 70 tahun.

Pada tahun 1930 merupakan suatu tahun yang penting kerana pada tahun tersebut negeri ini telah dinaungi secara rasminya oleh Kerajaan British. Pada 28 April 1930, jam 10.00 pagi bertempat di Balai Penghadapan Istana Arau, perjanjian bersejarah telah ditandatangani oleh Sir Cecil Clementi Smith , Gabenor Negeri-negeri Selat mewakili Kerajaan British dengan Raja Syed Alwi Jamalullail mewakili pihak negeri Perlis. Perjanjian yang termeterai itu telah membawa negeri Perlis sebagai sebuah negeri Melayu yang terakhir bernaung di bawah Kerajaan British secara rasmi.

Mr.L.A. Allen merupakan Penasihat British pertama setelah negeri ini berada secara rasmi di bawah naungan British dan beliau berkhidmat sehingga bulan November 1930. Beliau telah digantikan dengan Mr.M.C. Hay dan seterusnya beberapa orang lagi Penasihat British. Pemerintahan negeri dijalankan di bawah Majlis Mesyuarat Negeri yang diketuai oleh Raja Perlis manakala bahasa rasmi ialah Bahasa Melayu tulisan Jawi. Hasil negeri yang paling besar ialah bijih timah manakala perniagaan didominasikan oleh golongan Cina dan India.
Kerajaan British menamatkan pentadbirannya apabila kuasa Jepun mengambilalih Asia Tenggara pada tahun 1941. Setelah itu negeri Perlis berada di bawah kuasa Jepun sehinggalah akhir tahun 1943 dan selepas itu berada di bawah pengaruh kerajaan Siam. British muncul kembali setelah Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945.

/>

BANDAR KANGAR

Kangar merupakan ibu negeri Perlis Indera Kayangan dan di bandar inilah terletaknya pejabat dan jabatan kerajaan yang menjalankan pentadbiran negeri Perlis. Dari segi sejarah, kemunculan bandar Kangar amat berkait rapat dengan lokasinya yang strategik iaitu merupakan tempat pertemuan peniaga dan saudagar daerah Kayang (Perlis). Bandar ini menjadi tumpuan menjalankan aktiviti jual-beli dan bertukar barangan memandangkan kedudukannya yang membolehkan kapal dan tongkang yang membawa hasil dagangan dapat berlabuh dengan mudah. Bandar Kangar muncul antara pelabuhan yang terdapat di sepanjang Sungai Perlis berfungsi sebagai pelabuhan terpenting ketika itu. Selain daripada itu, Bandar Kangar juga merupakan tempat pertemuan Sungai Abi, Sungai Siran, Sungai Santan, Sungai Santan, Sungai Ngulang dan Sungai Arau. Justeru itu, ternyata kemunculan Bandar Kangar adalah berlandaskan lokasinya yang strategik menjadi pusat urusniaga barangan atau pelabuhan terpenting pada ketika itu.

Terdapat beberapa teori asal usul nama ‘Kangar’. Antaranya nama ‘Kangar’ dipercayai diambil daripada bunyi sejenis burung ‘Helang Kangor’ yang berterbangan di kawasan tersebut. Walau bagaimana pun, perkataan ‘Kangor’ bertukar menjadi ‘Kangar’ kerana untuk memudahkan ianya disebut. Selain daripada itu juga, teori asal-usul nama ‘Kangar’ ini turut dikaitkan dengan nama sepohon pokok yang tinggi dan rendang yang terdapat di pengkalan (pelabuhan) tempat urursniaga barangan dijalankan pada ketika itu. Pohon tersebut dikenali oleh masyarakat sebagai ‘Pohon Kangar’. Saudagar-saudagar yang berulang-alik ke pengkalan apabila ditanya hendak kemana, mereka akan menjawab ke pengkalan ‘Pohon Kangar’. Berlandaskan daripada itu, lama-kelamaan ianya kekal dikenali sebagai ‘Kangar’.

Kini, Kangar terus membangun dan berkembang pesat selaras dengan kemajuan yang sedang melanda negara. Bandar Kangar kini turut mendapat jolokan sebagai ‘Bandar Sejahtera'.