23 November 2008
Penjara Kangar dahulunya didirikan bersebelahan dengan Sekolah Menengah Derma Kangar (sekarang). Pentadbiran Negeri Perlis di bawah Kerajaan British kerana ketika itu perils berada di bawah naungan British. Penjara Kangar ini dikelolakan oleh seorang pegawai berbangsa Sikh bernama Jagat Singh.
Bangunan Penjara Kangar ini berbentuk tembok empat segi yang dibina dengan batu-bata yang tinggi. Di tiga bahagian tepinya terdapat bilik-bilik dan pada satu lagi bahagian tepi itu terdapat pintu masuk yang mempunyai satu halaman sempit di tengahnya. Penjara ini digunakan bagi mengurung pesalah pada waktu malam. Pada waktu siang, para pesalah ini dikeluarkan daripada penjara untuk mereka melakukan kerja-kerja buruh yang ditentukan oleh kerajaan.
Belanja makanan bagi pesalah didapati paling murah sekali. Pihak kerajaan hanya membeli padi dan para pesalah akan mengisar dan menumbuk padi tersebut untuk mendapatkan beras. Kerja tersebut dilakukan setiap hari dalam kawasan penjara. Para pesalah juga membuat kerja-kerja membersih pasar ikan di Kangar. Oleh itu, para penyewa gerai ikan akan memberikan mereka beberapa ekor ikan sebagai upah. Memandangkan keadaan yang demikian, kos memberi makan kepada pesalah di Penjara Kangar adalah rendah dan dianggarkan tidak sampai lima sen bagi setiap seorang dalam sehari. Pengelolaan penjara mengikut ‘cara’ tersebut adalah sangat menguntungkan kerajaan negeri dan menjimatkan belanja kerajaan.
Selain itu, kerja-kerja yang berkaitan dengan kemudahan awam juga telah dijalankan oleh para pesalah dari Penjara Kangar. Keadaan jalan-jalan di Negeri Perlis khasnya di Bandar Kangar tidaklah terlalu buruk jika dibandingkan dengan keadaan jenayah atau kesalahan di negeri ini. Ini kerana apabila perkara-perkara jenayah atau kesalahan berkurangan maka, akan berkurangan pula buruh-buruh bagi membaiki dan membina jalan-jalan di negeri ini.