26 November 2008

Perlis, Kubang Pasu, Kedah dan Setul suatu masa dahulu merupakan sebuah jajahan di bawah Kesultanan Kedah. Memandangkan bahawa Perlis hanya sebuah jajahan maka ianya jarang diketengahkan bahkan Perlis disebut secara umum sebagai “Negeri Kedah dan jajahan takhluknya”. Walau bagaimana pun, Perlis mempunyai sejarahnya tersendiri kerana ia pernah muncul sebagai jajahan terpenting apabila Kota Sena dan Kota Kayang menjadi pusat pemerintahan Negeri Kedah sekitar tahun 1653 hingga 1687.



Keadaan menjadi huru-hara apabila Siam mula menyerang negeri Kedah dan jajahannya pada tahun 1821. Ianya berlanjutan sehingga mengorbankan beribu-ribu nyawa orang Melayu tempatan dan juga tentera Siam. Kemuncak pertempuran berakhir sekitar tahun 1838 -1839 apabila pihak Siam membuat keputusan menyerahkan kembali pentadbiran Kedah dan jajahannya kepada orang Melayu tempatan tetapi ianya akan dinaugi oleh Kerajaan Siam.

Kerajaaan Siam telah membahagikan negeri Kedah dan jajahannya kepada empat buah negeri yang berasingan dikenali sebagai negeri Kedah, negeri Kubang Pasu, negeri Setul dan negeri Perlis. Negeri-negeri tersebut akan ditadbir oleh gabenor masing-masing dan Gabenor Perlis pertama ialah Tuan Syed Hussin Jamalullail. Oleh kerana itu, status Perlis dahulunya hanya sebuah ‘jajahan’ telah bertukar menjadi sebuah ‘negeri’ yang mempunyai unit politiknya tersendiri yang diberi mandat oleh Kerajaan Siam.

Terdapat beberapa hipotesis yang diambil daripada cerita lisan dan hasil tulisan berkenaan asal-usul nama negeri Perlis. Antaranya ia dikaitkan berasal daripada perkataan Siam iaitu ‘Prow-lowy’; perkataan Melayu loghat utara ‘Perlus’; nama manusia ‘Tok Perlis’ ; nama batu ‘Perlit’ dan daripada nama pokok ‘ Pokok Perlis’. Walau bagaimanapun, tegasnya setiap sumber mempunyai ceritanya tersendiri untuk menguatkan hujah masing-masing.