19 November 2008

PADANG MAJLIS BANDARAN


Padang Bandaran menjadi tempat tumpuan rakyat daripada pelbagai pihak bagi menganjurkan segala bentuk aktiviti sejak zaman British lagi. Ia pernah dikenali sebagai Padang Hospital disebabkan kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Hospital Besar Kangar (kini dikenali sebagai Hospital Tengku Fauziah). Padang ini dibuka pada tahun 1930an apabila permainan bola sepak diperkenalkan kepada anak-anak muda negeri Perlis pada tahun 1929.

Sebelum meletusnya Perang Dunia Ke2, Padang Bandaran pernah menjadi tempat berlangsungnya acara Sambutan Ulangtahun Keputeraan Raja England, King George IV. Murid-murid sekolah dari seluruh negeri Perlis telah datang beramai-ramai dengan menaiki lori untuk bersama-sama menjayakan sambutan tersebut.

Semasa zaman pemerintahan Jepun pula, padang ini menjadi tempat untuk pemerintah tentera Jepun mengajar anak-anak muda tempatan berkawad dan cara menunduk hormat mengadap ke arah Timur sebagai menghormati Maharaja Jepun. Manakala semasa Perlis di bawah pemerintahan Kerajaan Siam pula, Padang Bandaran ini berperanan sebagai gelanggang lumba kuda yang dianjurkan oleh para pegawai tentera Siam.

Padang Bandaran turut menjadi tempat untuk persembahan kebudayaan Melayu. Persembahan tarian canggung contohnya yang merupakan kesenian asli negeri Perlis mula diperkenalkan kepada penonton umum di padang ini pada awal tahun 1940-an.

Pada 4 Jun 1946, seramai 5000 orang Melayu telah berkumpul di padang ini untuk bermesyuarat menubuhkan Persatuan Melayu Negeri Perlis. Selepas beberapa bulan kemudian, semasa Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar datang ke negeri Perlis sekali lagi padang ini menjadi tempat orang-orang Melayu berkumpul hingga kemudiannya membawa kepada penubuhan UMNO di negeri ini.

Walau bagaimana pun, menjelang awal tahun 1960an peranan Padang Bandaran sebagai gelanggang bola sepak telah berubah setelah terbinanya Stadium Dato’ Sheikh Ahmad. Namun begitu padang bersejarah tersebut masih berfungsi sehingga sekarang menjadi tempat tumpuan jika terdapat acara sambutan atau pertandingan yang tidak melibatkan jumlah penonton yang ramai.